KUCHING: Perkhidmatan awam Sarawak perlu terus beroperasi secara cekap dan berteraskan pendekatan ‘lean’ tanpa pengembangan tenaga kerja yang tidak perlu, selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan di semua agensi kerajaan. Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, sebarang penambahbaikan atau penstrukturan semula dalam agensi kerajaan hendaklah mengutamakan aspek kecekapan dan produktiviti, bukannya penambahan jumlah kakitangan. Beliau menjelaskan, meskipun agensi kerajaan berdepan pertambahan tanggungjawab, perkara tersebut tidak seharusnya secara automatik diterjemahkan kepada permohonan penambahan perjawatan, sebaliknya memerlukan penyesuaian melalui penambahbaikan sistem dan amalan kerja. “Perkhidmatan awam hari ini perlu bergerak secara lean dan kita tidak boleh menganggap bahawa pertambahan tanggungjawab memerlukan pertambahan tenaga kerja,” katanya. Beliau berucap demikian pada Majlis Bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak yang berlangsung di Kompleks Islam Sarawak, di sini, pada Jumaat. Tambah beliau, pengembangan organisasi secara berlebihan boleh menjejaskan keupayaan institusi kerajaan untuk kekal tangkas serta responsif terhadap perubahan keperluan dan jangkaan semasa. Dalam pada itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut menekankan penyumberluaran sebagai antara pendekatan bagi mengurangkan beban operasi agensi kerajaan, khususnya melibatkan fungsi bukan teras. “Penyumberluaran merupakan salah satu pendekatan untuk mengurangkan beban perkhidmatan awam, terutamanya bagi perkara bukan teras, agar agensi dapat memberi tumpuan kepada tanggungjawab utama,” ujarnya. Pada masa sama, beliau mengingatkan penjawat awam agar sentiasa memelihara amanah yang diberikan oleh kepimpinan negeri dengan menegakkan nilai integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam pelaksanaan tugas. Beliau turut menegaskan bahawa agensi Islam khususnya perlu terus menjadi contoh dalam mengamalkan tadbir urus berdisiplin serta pengurusan berkesan seiring usaha Sarawak memperkukuh kerangka penyampaian perkhidmatan awam. Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, Pakar Rujuk Syariah Datu Khalidi Ibrahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) merangkap Setiausaha MIS Sahibus Siyadah Mual Suaud, Imam Besar Sarawak Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi serta tetamu kehormat lain. Sumber: Berita UKAS Wartawan: Alezxandria Kapple & Lonney Jinab Jurugambar: Hazrin Sunaini |