Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat Agensi Islam bersama Yang Amat Berhormat Premier Sarawak Tahun 1447H/2026M telah diadakan pada Jumaat, 16 Januari 2026 bersamaan 27 Rejab 1447H bertempat di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Kuching.
Majlis dimulakan dengan ketibaan para jemputan dan dif kenamaan, diikuti kehadiran YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak. Atur cara diteruskan dengan solat fardu Maghrib berjemaah serta bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan surah Yaasin sempena Israk dan Mikraj.
Seterusnya, tazkirah Israk dan Mikraj telah disampaikan oleh YBhg. Datu Haji Khalidi bin Haji Ibrahim, Pakar Rujuk Syariah, Jabatan Mufti Sarawak diikuti solat Isyak dan solat Hajat. Kemuncak majlis adalah ucapan dan Amanat Perdana oleh YAB Premier Sarawak.
Majlis diakhiri dengan doa kesyukuran dan jamuan makan malam. Secara keseluruhan, penganjuran majlis ini berjalan dengan lancar di samping memperkukuh kerjasama dan komitmen berterusan agensi-agensi Islam dalam menyokong agenda pembangunan ummah di Negeri Sarawak.