SIMUNJAN, 2026 – Majlis Islam Sarawak (MIS) telah menganjurkan Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Tahun 2026 bagi Zon Selatan yang berlangsung di Simunjan, baru-baru ini.
Program berkenaan telah dirasmikan oleh Datuk Aidel bin Lariwoo, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Infrastruktur) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N24 Sadong Jaya.
Program Ziarah Mahabbah merupakan antara inisiatif MIS dalam memperkukuh hubungan silaturahim bersama masyarakat Islam di samping mendekati komuniti, menyantuni golongan yang memerlukan serta memahami keperluan dan isu yang dihadapi oleh masyarakat setempat.
Penganjuran program ini turut menjadi wadah untuk memperkukuh kerjasama antara MIS, agensi-agensi Islam serta pemimpin dan komuniti setempat dalam usaha memperkasa pembangunan ummah secara menyeluruh.
Melalui pendekatan turun padang seperti ini, MIS terus komited untuk memperkukuh peranan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Islam di Sarawak selaras dengan aspirasi memartabatkan nilai-nilai Islam serta meningkatkan kesejahteraan ummah.
Program Ziarah Mahabbah MIS 2026 akan terus dilaksanakan di beberapa zon terpilih sebagai platform untuk mendekati masyarakat dan memperkukuh hubungan antara institusi Islam dengan komuniti setempat.