RM4.627 JUTA SUMBANGAN MAJLIS ISLAM SARAWAK MANFAAT 1,688 MASJID, SURAU & TANAH PERKUBURAN ISLAM DI SARAWAK

Posted on 04 Feb 2026
Source of News: Unit Komunikasi Awam Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM4,627,000 sumbangan telah diluluskan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) bagi tahun 2026 melibatkan 1,688 masjid, surau dan tanah perkuburan Islam di seluruh negeri ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penyaluran sumbangan tersebut merupakan bukti keprihatinan berterusan MIS dan Jabatan Agama Islam Sarawak terhadap pemeliharaan institusi Islam.

Menurutnya, sumbangan berkenaan bukan bersifat simbolik semata-mata, sebaliknya dilaksanakan berlandaskan amanah serta peruntukan undang-undang yang jelas selaras dengan Seksyen 46, Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001,yang membenarkan penggunaan dana TBS bagi penyediaan dan penyelenggaraan tempat ibadat serta tanah perkuburan orang Islam.

“Komitmen ini mencerminkan peranan MIS sebagai institusi utama hal ehwal Islam yang memastikan kebajikan ummah terus terpelihara secara terancang, berintegriti dan berkesan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Majlis Islam Sarawak Kepada Masjid, Surau dan Tanah Perkuburan Islam Tahun 2026M/1447H pada Rabu.

Beliau menambah, kadar sumbangan yang disalurkan adalah berdasarkan kategori, antaranya Masjid Gred I (Bahagian) menerima RM1,000, Masjid Gred II (Daerah) RM2,000, Masjid Gred III (Daerah Kecil) RM3,000 dan Masjid Gred IV (Kariah) sebanyak RM5,000.

Sementara itu, masjid tanpa skim dan surau awam menerima RM3,000, masjid dan surau dalam premis RM1,000, tanah perkuburan Islam di bawah Jawatankuasa Tanah Perkuburan (JKTP) RM3,000 serta tanah perkuburan Islam di bawah Lembaga Amanah Kebajikan (LAK) RM1,000.

"Jumlah peruntukan tersebut memperlihatkan skala bantuan yang besar dan menyeluruh, merangkumi hampir keseluruhan ekosistem pengurusan masjid, surau dan tanah perkuburan Islam di Sarawak," katanya lagi.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan bahawa kadar zakat fitrah bagi Sarawak bagi tahun 1447 Hijrah ditetapkan sebanyak RM7.50 bagi seorang dan menyeru umat Islam agar menunaikan kewajipan tersebut melalui saluran yang sah dan diiktiraf oleh Majlis Islam Sarawak.- EDISI UKAS