Berita

 

MAJLIS LAFAZ IKRAR INTEGRITI PERKHIDMATAN AWAM NEGERI SARAWAK KAKITANGAN BAHARU MAJLIS ISLAM SARAWAK TAHUN 2026

Disiarkan pada 23 Jan 2026
Sumber Berita: Pejabat Majlis Islam Sarawak
KUCHING, 23 Januari 2026 – Majlis Islam Sarawak (MIS) telah menganjurkan Majlis Lafaz Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak yang melibatkan penjawat awam yang baharu berkhidmat di Majlis Islam Sarawak sebagai satu inisiatif berterusan ke arah memperkukuh amalan integriti, akauntabiliti serta tadbir urus yang berkesan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen dan iltizam berterusan warga kerja MIS dalam mendukung nilai-nilai murni perkhidmatan awam, khususnya kejujuran, ketelusan, profesionalisme dan tanggungjawab bersama selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk membentuk perkhidmatan awam yang berintegriti, berwibawa dan berorientasikan kecemerlangan.

Majlis lafaz ikrar ini telah disertai oleh semua pegawai serta kakitangan MIS yang baharu sebagai simbol kesepaduan tekad untuk menolak sebarang bentuk salah guna kuasa, rasuah dan amalan tidak beretika dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Dalam ucapan Yang Berbahagia Datuk Haji Misnu bin Haj Taha, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak menegaskan bahawa integriti merupakan teras utama dalam memastikan keberkesanan organisasi dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi Islam. Justeru, setiap penjawat awam hendaklah menghayati dan mengamalkan prinsip integriti secara konsisten dalam setiap aspek pelaksanaan tugas, selaras dengan peraturan, undang-undang serta nilai-nilai Islam.

Penganjuran majlis ini juga selari dengan usaha berterusan Majlis Islam Sarawak dalam membudayakan persekitaran kerja yang kondusif, beretika, produktif dan mampan, di samping memperkukuh imej serta kredibiliti institusi dalam pengurusan hal ehwal Islam di Sarawak.