KUCHING, 3 Februari – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar telah berkenan menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Islam Sarawak (MIS) diketuai oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) dalam di kediaman rasmi, Petra Jaya pada jam 10.00 pagi.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah YBhg. Datuk Haji Misnu bin Haji Taha, Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak; Yang Amat Arif Datu Haji Awang Suhaili bin Ledi, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak; YBhg. Datu Haji Abang Mohd Shibli bin Haji Abang Mohd Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak; Sahibus Siyadah Ustaz Haji Mual bin Haji Suaud, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak merangkap Setiausaha MIS; Sahibus Siyadah Ustaz Haji Ahmad Sukarno bin Haji Saini, Pengarah Jabatan Mufti Sarawak; serta barisan kepimpinan kanan dan pegawai-pegawai Majlis Islam Sarawak dan jabatan berkaitan.
Kunjungan hormat tersebut diadakan sebagai platform rasmi bagi memperkukuh hubungan kerjasama antara Majlis Islam Sarawak dengan institusi Yang di-Pertua Negeri, di samping memberi ruang untuk bertukar pandangan secara langsung mengenai hal ehwal pentadbiran dan pembangunan Islam di Sarawak.
Melalui sesi ini, TYT Tun Pehin Sri telah diberi penerangan menyeluruh berhubung hala tuju strategik, peranan dan fungsi Majlis Islam Sarawak merangkumi Jabatan dan Agensi Islam Sarawak termasuklah Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Mufti Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak dan Tabung Baitulmal Sarawak, serta inisiatif-inisiatif semasa yang dirangka bagi memastikan pengurusan hal ehwal Islam dilaksanakan secara tersusun, inklusif dan berlandaskan perundangan sedia ada.
Sesi kunjungan hormat ini turut memberi ruang terbaik buat pihak MIS bagi mendapatkan nasihat dan panduan daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebagai medium penyelarasan dasar dan hala tuju, khususnya dalam memastikan pelaksanaan program, pewartaan fatwa serta pengurusan institusi Islam di negeri ini selari dengan kepentingan umat Islam dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
TYT Tun Pehin Sri merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Majlis Islam Sarawak serta semua agensi berkaitan atas komitmen dan dedikasi berterusan dalam memartabatkan pentadbiran hal ehwal Islam di negeri ini, selain memainkan peranan penting dalam menjaga kesucian agama Islam serta kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Tun Pehin Sri berharap agar hubungan kerjasama yang erat antara Majlis Islam Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak dan institusi-institusi berkaitan akan terus diperkukuh demi memastikan tadbir urus yang berintegriti, berkesan dan berterusan, selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak yang sejahtera dan harmoni.
TYT Tun Pehin Sri turut menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan Majlis Islam Sarawak dan agensi-agensi berkaitan dalam memperkasa pengurusan hal ehwal Islam di Sarawak, serta menekankan kepentingan tadbir urus yang berhemah, berlandaskan undang-undang dan keharmonian masyarakat majmuk negeri ini.
TAMAT
Foto: Astana Sarawak