Sarawak ID|Register
Announcements

KHUTBAH KHAS AIDILFITRI 1442H/ 2021M

Dipaparkan pada 10 May 2021

Khutbah Khas Aidilfitri 1442H/ 2021M

"Aidilfitri : Kembali Kepada Fitrah Menuju Reda Ilahi"


Sila Klik Disini untuk muat turun Khutbah Khas Aidilfitri Jawi

Sila Klik Disini untuk muat turun Khutbah Khas Aidilfitri Rumi


part 1.jpg

 

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah! 

Marilah sama-sama kita memperkukuh takwa kepada Allah subhanahu wata’ala setelah sebulan kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan. Maka pada hari ini marilah kita meningkatkan kesyukuran kepada Allah subhanahu wata’ala sebagai tanda kegembiraan serta kemenangan selepas menghadapi cabaran ketika Ramadhan. Justeru marilah sama-sama kita menghayati khutbah yang bertajuk “Aidilfitri: Kembali Kepada Fitrah Menuju Reda Ilahi.”


part 2.jpg



Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah! 

Hari ini adalah hari yang dinanti-nantikan oleh umat Islam sebagai hari untuk bergembira. Kegembiraan umat Islam bukanlah kegembiraan yang biasa dan bukan yang sia-sia, tetapi kegembiraan yang disertai dengan rasa syukur dan didahului dengan membesarkan Allah subhanahu wata’ala, melalui alunan takbir yang dilaungkan bermula dari masuknya waktu Maghrib semalam dan berakhir sebelum solat sunat Aidilfitri sebentar tadi. Firman Allah subhanahu wata’ala di dalam surah al-Baqarah, ayat 185 :


part 3.jpg

Maksudnya : … dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.


Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah! 

Kemeriahan dan kegembiraan menyambut Aidilfitri yang kita rasai hendaklah dikongsi bersama dengan umat Islam yang lain. Janganlah lupa kepada golongan yang susah, uzur, fakir, miskin dan anak-anak yatim dan sebagainya. Hulurkanlah bantuan dan sumbangan kepada mereka kerana mereka juga berhak untuk menikmati kegembiraan dan kemeriahan menyambut hari raya yang mulia ini.

Alhamdulillah, ketika Ramadan pada tahun ini selain berpuasa, kita dapat ke masjid dan surau untuk beribadah walaupun ketika masih berhadapan dengan pandemik COVID-19 dengan mematuhi garis panduan yang telah disediakan oleh pihak berwajib. Semoga usaha kita menggapai taqwa ketika Ramadan itu dapat kita teruskan dalam kehidupan kita pada bulan-bulan yang lain.

Marilah kita sama-sama menginsafi apa yang berlaku di dunia pada masa ini adalah sebagai teguran daripada Allah subhanahu wata’ala supaya kita dapat menilai kembali, iman, amal dan akhlak kita. Terbukti dan amat nyata sekali melalui penularan koronavirus di seluruh dunia ini, hebatnya kekuasaan dan keagungan Allah subhanahu wata’ala. Justeru, seluruh kehidupan kita hendaklah diserahkan kepada Allah selepas kita berusaha dalam kadar kemampuan kita sebagai makhluk-Nya. Lakukan sebanyak-banyak amal soleh dan tinggalkan segala dosa dan mungkar serta bertaubatlah kepada-Nya dengan sebenar-benar taubat.


part 2.jpg



Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah! 

Pada hari mulia ini, rebutlah peluang untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan persaudaraan Islam dengan doa dan ucapan serta saling bermaafan antara satu sama lain.

Manfaatkanlah kecanggihan teknologi komunikasi pada masa kini untuk saling berhubung antara satu sama lain terutamanya dalam keadaan negara kita sedang berusaha memutuskan rantaian wabak penyakit yang disebabkan oleh virus COVID-19.

Sesungguhnya, tuntutan menjaga keselamatan diri dan kesihatan itu adalah salah satu daripada Maqasidus Syariah atau Matlamat Syariah itu diturunkan iaitu memelihara nyawa. Sebagaimana ibadah puasa mendidik kita ke arah yang lebih baik dengan bersabar daripada melakukan segala perkara yang boleh membatalkannya, maka seumpama itulah juga kita bersabar mematuhi segala peraturan yang ditetapkan bagi membebaskan negara kita daripada wabak penyakit yang berbahaya ini.


part 2.jpg



Para jemaah yang dirahmati Allah! 

Mengakhiri khutbah Aidilfitri ini, marilah kita mengambil beberapa intipati dari khutbah ini sebagai panduan hidup kita :

Pertama : Kita hendaklah mensyukuri Aidilfitri sebagai nikmat daripada Allah kepada hambanya yang beriman yang telah selesai melaksanakan kewajipan ibadah puasa.
Kedua : Kita hendaklah menghayati Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan ketaatan kepada segala syariat dan perintah Allah.
Ketiga : Kita hendaklah menginsafi apa yang berlaku di dunia ini sebagai teguran daripada Allah supaya kita tingkatkan iman, amal soleh, akhlak dan bertaubat kepadaNya.
Keempat : Kita hendaklah sentiasa memperkukuhkan hubungan silaturrahim dan persaudaraan Islam melalui pelbagai cara.
Kelima : Kita hendaklah menjaga keselamatan daripada segala perkara yang boleh memudarat dan membahayakan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.

 

Marilah kita bersama-sama menghayati firman Allah subhanahu wata’ala di dalam Surah al-Ahqaf, ayat 13-14 :

part 4.jpg

Maksudnya : Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

part 5.jpg

Useful Links