SEJARAHSEJARAH


1 MEI 1955

Majlis Islam Sarawak telah ditubuhkan dan Presiden Pertama dan ahli-ahlinya telah dilantik. Perlantikan ini adalah satu penggal selama 3 tahun. Bagi memenuhi tujuan utama penubuhan Majlis Islam, satu persidangan yang terdiri daripada ketua-ketua kaum Melayu dari seluruh Sarawak telah diadakan pada 30 dan 31 Julai 1956 bagi mengemaskini Undang-Undang Mahkamah Melayu 1915. Di bawah merupakan Presiden Majlis Islam Sarawak dan ahli-ahlinya:

PRESIDEN

Dato Abang Openg bin Abang Sapi’ee

     

AHLI-AHLI

  1. Abang Haji Bahauddin bin Abang Taha
  2. Haji Busrah bin Othman Mohamed Yakub
  3. Haji Bolhassan Haji Daud
  4. Che Jol bin Karim
  5. Seruji bin Ali
  6. Abang Morni bin Abang Haji Latif

SETIAUSAHA

Abang Daim bin Abang Haji Abdul Rahim

 

AHLI EX-OFFICIO

Datu Hakim Abang Haji Mohideen


16 SEPTEMBER 1963 (Sarawak Merdeka)

Datu Abang Haji Openg telah dilantik sebagai Gabenor Sarawak yang pertama. Tempat beliau diambil alih oleh Ustaz Haji Mohamad Mortadza Haji Daud. Pindaan pertama ke atas Majlis Islam Sarawak 1956 dibuat pada tahun 1966 dengan memasukkan Undang-Undang Zakat dan Fitrah. Dengan ini, tertubuhlah Tabung Zakat dan Fitrah yang mengendalikan sumber dari zakat dan fitrah dengan pengurusan yang teratur baik dari segi pungutan mahupun pengagihan dan cara memanfaatkannya. Kemudian, pada tahun 1978, satu sejarah telah tercipta dengan penubuhan Mahkamah Syariah bagi menggantikan Mahkamah Melayu Sarawak.


2 JANUARI 1985

Majlis Islam Sarawak dengan rasminya mewujudkan sebuah sekolah agama iaitu Sekolah Rendah Agama Majlis Islam Sarawak. Ini adalah berikutan pindaan Ordinan Majlis Islam Sarawak yang memperuntukkan bahawa Majis Islam Sarawak adalah pihak yang bertanggungjawab secara langsung terhadap Pendidikan Islam di Sarawak. Sarawak tidak mempunyai sekolah agama secara formal selain dari Madrasah Arabiah Al Islamiyah di Kuching sehinggalah Tabung Zakat dan Fitrah memulakan Sekolah Menengah Agama yang dikenali sebagai Sekolah Datuk Abdul Rahman atau SEDAR. Namun beberapa tahun kemudian, ia ditutup apabila Kerajaan Persekutuan mengadakan sekolah-sekolah agama secara formal di Sarawak bermula dengan Sekolah Agama Matang yang kemudian dikenali sebagai Sekolah Sheikh Othman Abdul Wahab.

Namun, komitmen Majlis Islam Sarawak dalam bidang Pendidikan Islam tidak pernah pudar. Bermula dengan Sekolah Rendah Agama Majlis Islam Sarawak yang kemudian dinamakan Madrasah Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, sekolah-sekolah dengan konsep yang sama telah didirikan di semua bahagian negeri Sarawak. Selain dari itu, sebuah Sekolah Menengah Agama Majlis Islam Sarawak telah diwujudkan dan telah melahirkan pelajar-pelajar dalam pelbagai bidang seperti perubatan, kejuruteraan, undang-undang, teknologi maklumat dan sebagainya. Yang menariknya ialah graduan-graduan ini merupakan mereka yang mempunyai didikan agama yang kukuh sejak di peringkat rendah dan menengah lagi.

Tugas dan tangguungjawab Majlis Islam Sarawak dalam mengendalikan urusan Hal Ehwal Islam di Sarawak semakin mencabar dan berat. Beberapa pindaan dan tambahan telah dilakukan kepada Ordinan Majlis Islam Sarawak tersebut yang memberi kuasa yang lebih luas kepada Majlis Islam Sarawak. Dengan diperluaskan bidang kuasa ini, kerajaan merasa perlu Majlis Islam Sarawak menumpu perhatian kepada soal-soal dasar yang berkaitan dengan Islam sahaja. Perlaksanaan dasar-dasar dan pentadbiran diserahkan kepada satu jabatan khusus yang bertindak sebagai urus setia kepada Majlis Islam Sarawak.


17 OGOS 1990

Jabatan Agama Islam Sarawak ditubuhkan bertujuan untuk memperkemaskan lagi pentadbiran Hal Ehwal Islam di negeri Sarawak. Ia hanya melaksanakan dasar dan pentadbiran Islam manakala Majlis Islam Sarawak pula sebagai kuasa tertiinggi dalam menggubal dan meluluskan soal-soal yang berhubung dengan dasar.


TAHUN 1991

Iaitu diikuti pula dengan penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak. Dengan ini, pentadbiran Mahkamah Syariah diipisahkan dari Majlis Islam Sarawak dengan peruntukan tahunannya sendiri. Perkembangan seterusnya berlaku pada tahun 1991 apabila Dewan Undangan Negeri Sarawak telah meluluskan 6 Rang Undang-Undang dalam Pindaan Majlis Islam Sarawak bagi menguatkuasakan 6 ordinan iaitu Ordinan Mahkamah Syariah, Ordinan Acara Jenayah serta Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam dan Ordinan Undang-Undang Keterangan Islam. Semuanya telah diwartakan pada tahun 1992. Ini sekaligus menjadikan Sarawak negeri pertama di Malaysia yang mempunyai Undang-Undang Syariah yang lengkap.


TAHUN 1997

Satu lagi pindaan bagi pertubuhan Lembaga Masjid-masjid, Lembaga Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu, Lembaga Fatwa, Lembaga Baitulmal dan Wakaf telah dilaksanakan untuk menerangkan tugas-tugas dan hubungan mereka dengan Majlis Islam Sarawak. Pindaan berkenaan juga bertujuan untuk menentukan bahawa ahli-ahli Majlis Islam Sarawak dan Mufti dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong atas perakuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

 

2001

Pindaaan terakhir telah dibentang dan diluluskan dalam sidang dewan bulan November 2001, untuk mengemaskini ordinan yang sedia ada. Di bawah pindaan ini, kuasa baharu telah diperuntukkan kepada Majlis Islam Sarawak dalam menguruskan hal ehwal masyarakat Islam di Sarawak. Selain itu, ia juga bertujuan memberi kuasa dalam menubuh serta menyelenggara institusi-institusi keagamaan termasuklah institusi-institusi yang menyediakan pendidikan Islam bagi umat Islam. Pindaan terakhir pada tahun 2001 ini telah memperkukuhkan lagi peranan Majlis Islam Sarawak dalam memperjuangkan, menggalakkan dan memudahkan perjalanan tanggungjawabnya. Selain itu, ia membolehkan umat Islam berada pada landasan yang jelas iaitu badan-badan yang diwujudkan akan dapat memberi bantuan dalam bentuk ekonomi atau pembangunan sosial bagi umat Islam di negeri Sarawak sejajar dengan Undang-Undang Islam dan prinsip-prinsip di bawahnya.


KINI

Majlis Islam Sarawak kini dapat memberi khidmat kepada masyarakat Islam dan menjaga kebajikan mereka serta institusi-institusi agama yang ditubuhkan bagi menjalankan pengajian dan dakwah Islamiah dengan lebih baik. Ia menjadi teratur dan mendapat sokongan yang lebih kuat dan boleh menjalankan fungsi-fungsi perundangan, keagamaan dan kebajikan dengan lebih cekap dan berkesan lagi dengan prasarana yang lebih sempurna dan tersusun.