Sarawak Tuan Rumah Persidangan Nadwah Ulama Nusantara 2018
Tarikh : 26 Jul 2018
 

 

 


SARAWAK akan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Nadwah Ulama Nusantara 2018 yang dijadualkan akan berlangsung di Kuching pada 24-25 Oktober 2018 ini.

Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Elektrik) Dr Haji Abdul Rahman Junaidi berkata, persidangan tersebut adalah bagi kali yang ke-2 diadakan selaku tuan rumah.

"Tema Persidangan itu adalah "Sinergi Ulama Dalam Pemerkasaan Ummah" dan bidang utama dalam persidangan berkenaan akan menyentuh Pemerkasaan Ummah, pengukuhan akidah, dakwah, sosial, perundangan, ekonomi, sains dan teknologi, jaringan ulama Nusantara Dan pengurusan Islam."

Menurut Abdul Rahman, antara matlamat utama persidangan itu adalah untuk mengumpul idea dan pandangan serta kajian oleh pakar-pakar Islam di serantau Nusantara.

"Peserta juga akan bergabung menyampaikan kertas kerja masing-masing bagi mengemblingkan tenaga untuk memperkasakan syiar Islam di serantau Nusantara," katanya lagi.

Jelasnya, cabaran umat Islam amat berbeza pada masa sekarang terutamanya di serantau Nusantara lebih-lebih lagi, berlaku beberapa peristiwa yang dikatakan dicetuskan oleh umat Islam.

Harapan Abdul Rahman adalah agar persidangan yang akan menjemput penceramah-penceramah dari sekitar serantau Asia Tenggara tersebut juga akan mendapat kata sepakat menangkis tohmahan seumpama itu terhadap umat Islam.

"Ikatan yang akrab sesama kita amat diperlukan dalam kita berusaha memperkasakan syiar Islam terutamanya di Kepulauan Borneo dan hubungan umpama adik beradik seperti ini haruslah dikekalkan sehingga bila-bila masa disamping mengeratkan hubungan silaturahim yang telah terjalin sejak dulu lagi."

Abdul Rahman, yang ditugaskan membantu Ketua Menteri dalam Hal Ehwal Islam Sarawak ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Undang-Undang Dan Hal Ehwal Anak-Anak Negeri Sabah di Kota Kinabalu, Sabah pada hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau juga telah menjemput penyertaan daripada agensi-agensi Islam Sabah ke Persidangan Nadwah Ulama Nusantara 2018.

Turut bersama Abdul Rahman adalah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Pengarah JAIS, Mufti Negeri Sarawak dan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak.