" ... Kehidupan di dunia ini sememangnya tidak dapat lari daripada ujian dan dugaan. Ia sentiasa datang kepada manusia untuk menguji sejauh mana kemampuannya dalam menerima dan menghadapinya. Allah subhanahu wata’ala sangat mengasihi hamba-hamba-Nya yang sentiasa sabar, reda dan berserah diri kepada-Nya dalam menghadapi ujian tersebut. Firman Allah subhanahu wata’ala di dalam surah al-Baqarah, ayat 156 yang bermaksud :
(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
Negara kita masih lagi mengharungi ujian wabak pandemik COVID19. Pada masa yang sama, beberapa buah negeri termasuk Sarawak, sedang berhadapan dengan bencana banjir, hujan lebat, tanah runtuh, hakisan tanah dan sebagainya yang telah menjejaskan kehidupan seharian. Sesungguhnya musibah yang berlaku ini yang juga turut dilalui oleh masyarakat Islam terdahulu merupakan sebuah ujian kehidupan sebagai peringatan supaya kita tidak terus alpa dan leka.
Sebagai muslim kita hendaklah percaya dan yakin bahawa setiap musibah dan bala bencana yang menimpa merupakan ujian daripada Allah subhanahu wata’ala untuk menguji sejauh mana penerimaan manusia dalam mengharungi kesusahan. Inilah ujian keimanan yang diberikan oleh Allah subhanahu wata’ala sebagai peringatan buat hamba-hamba-Nya. Justeru, marilah kita bersamasama mempertingkat kesabaran, melapangkan dada dan fikiran serta terus pasrah dan reda menempuh setiap ujian kehidupan.
Sebagai umat Islam sewajarnya kita mengambil ibrah dan iktibar daripada setiap musibah seperti keadaan bencana alam ini. Sememangnya musibah tidak akan datang melainkan akibat perbuatan manusia yang sering melakukan kerosakan. Dengan musibah ini juga, sewajarnya manusia kembali kepada Allah subhanahu wata’ala dan menyedari bahawa ia juga menjadi sebab terhapusnya dosa-dosa kita. Sesungguhnya Allah subhanahu wata’ala tidak pernah menjadikan sesuatu tanpa sebab dan sia-sia. Jika ia baik maka akan terbuktilah manfaatnya, malah sesuatu yang buruk juga mempunyai hikmah di sebaliknya.
Islam mendidik umatnya supaya mengambil berat terhadap kesusahan dan kepayahan yang menimpa orang lain. Dalam mengharungi saat-saat getir ini, marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan tanpa mengira perbezaan agama, kaum dan bangsa. Hulurkanlah apa jua bantuan sama ada tenaga dan harta seadanya. Sesungguhnya, inilah bukti kecintaan dan kebersamaan kita terhadap masyarakat dan negara. Renungilah firman Allah subhanahu wata’ala dalam surah al-Maaidah, ayat 2 yang bermaksud :
... Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolongtolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
Sesungguhnya kita amat dituntut untuk sentiasa memohon perlindungan daripada Allah subhanahu wata’ala ketika menghadapi kesusahan dan bencana. Imam Abu Daud rahimahullah telah meriwayatkan hadith daripada Abu al-Yasar radhiallahu anhu, bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berdoa :
Ya Allah, Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kehancuran, dan aku berlindung kepada-Mu daripada kebinasaan. Aku juga berlindung kepada-Mu daripada tenggelam lemas, terbakar dan menjadi nyanyuk (kerana tua)...”
Mengakhiri khutbah, marilah kita mengambil hikmah dan bermuhasabah daripada ujian yang sedang melanda kita ini. Perbanyakkanlah doa dan munajat kepada-Nya kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat memberi dan menghilangkan kemudaratan melainkan Allah Yang Maha Esa. Marilah bersama-sama kita menghayati firman Allah subhanahu wata’ala dalam Surah al-Syura, ayat 30 yang bermaksud :
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.